Oleh Idris Jala
Nampaknya sudah tersebar luas cerita kurang tepat tentang
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan kerajaan tak lama
lagi, walhal fakta sebenar tidak dihebahkan.
Di sini, saya ingin bidas beberapa gambaran palsu tentang
cukai itu dan memberikan pembaca perspektif tepat mengenainya.
Perkara pertama perlu diingat ialah GST hanyalah antara
tindakan yang dilaksanakan kerajaan bagi menyusun semula sistem kewangan negara
untuk mencari sumber hasil baru dan memperkemas kaedah kutipan cukai.
Selain itu, langkah lain juga sedang diambil termasuklah
membanteras rasuah, membasmi pembaziran serta mewujudkan proses pemerolehan
yang telus.
GST adalah sebahagian program peningkatan secara
menyeluruh dengan penggabungan tindakan lain oleh kerajaan, bertujuan mencapai
matlamat sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi secara mapan serta
menyeluruh menjelang 2020.
Buat masa ini, asas rangkuman cukai kita terbatas iaitu
terlalu bergantung kepada cukai pendapatan, baik cukai korporat mahupun cukai
individu.
Jumlah penduduk Malaysia mencecah 29 juta tetapi bilangan
yang membayar cukai pendapatan kurang daripada dua juta orang.
Takkan individu dan badan korporat yang sama diminta
membayar cukai berkali-kali, malah didesak lagi membayar cukai lebih?
Kita cuma boleh berharap mereka dapat menjelaskan lebih
cukai bila pendapatan mereka bertambah.
Sudah tentu jika kita tidak memperluas asas cukai, tidak
mungkin sebarang potongan terhadap cukai pendapatan dan korporat dapat
dipertimbangkan.
Pelbagai sebab yang mendorong kita memperbesar asas
cukai, antara lain adalah hasil pendapatan yang tidak dilaporkan.
Sistem cukai nilai tambah seperti GST adalah cukai
penggunaan yang mana bayaran cukai akan dikenakan pada setiap tahap berlakunya
penambahan nilai dalam proses itu. Ini bermaksud GST hanya akan dibayar oleh
golongan yang mampu berbelanja.
Jika anda mempunyai pendapatan tetapi tidak membayar
cukai atas sebab tertentu, anda masih mahu membeli dan menggunakan barangan.
Bila anda berbelanja, cukai yang dibayar sebagai GST dapat disalurkan kepada
kerajaan sebagai sumber pendapatan.
Jika anda bimbang GST akan menyukarkan hidup anda, perlu
diingat apabila GST dilaksanakan, kadar cukai sifar boleh dikenakan atas barang
keperluan asas sebanyak mana yang mungkin.
Matlamat ini yang sedang diusahakan kerajaan bagi
memastikan rakyat tidak terbeban akibat cukai ke atas barang keperluan asas.
Apabila GST dilaksanakan nanti, cukai jualan serta
perkhidmatan yang kini pada kadar 6.0 hingga 10 peratus akan dihapuskan.
Pada tahun awal pelaksanaan GST, pendapatan kerajaan
belum boleh memperlihatkan keuntungan kerana hasil yang diperoleh akan
mengimbangi kehilangan akibat penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.
Akan tetapi, sesudah beberapa lama, GST akan menyumbang
kepada sumber pendapatan kerajaan.
Langkah yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan hasil
pencarian rakyat akan menjadikan rakyat semakin mewah. Apabila pendapatan
rakyat semakin meningkat dan jumlah penggunaan juga meningkat, punca pendapatan
daripada GST juga akan bertambah untuk kerajaan.
Apa pula manfaat GST untuk rakyat? Pertama, pengguna
tidak akan membayar cukai lebih di atas pembekalan barangan dan perkhidmatan
asas seperti makanan, pengangkutan awam dan pendidikan kerana cukai akan ditetapkan
berkadar sifar untuk barangan dan perkhidmatan tersebut.
Kedua, penambahan hasil bagi kerajaan membolehkan program
kebajikan masyarakat seperti BR1M, iaitu program pemberian tunai untuk golongan
rakyat berpendapatan rendah diteruskan.
Besar kemungkinan pelaksanaan GST hanya akan dimulakan
pada pertengahan 2015 dan itu pun jika GST diumumkan pada bajet akan datang.
Hal ini kerana jangka masa antara 12 hingga 18 bulan diperlukan untuk
memperkemas pelaksanaan cukai nilai tambah ini.
Bayangkan sejenak jika anda seorang pengilang barangan
pengguna, contohnya minuman dalam botol.
Anda perlu membeli barangan mentah seperti gula, perisa
minuman, botol dan lain-lain daripada pembekal. Pembekal ini akan memasukkan
cukai GST dalam harga jualan mereka kepada anda.
Bila anda menjual minuman anda pula, anda juga harus
meletakkan harga minuman yang ditambah dengan cukai GST. Namun, anda berhak
membuat tuntutan rebet daripada nilai harga yang tidak anda masukkan, yakni
cukai yang dikenakan oleh pembekal ke atas anda. Untuk itu, anda perlu
menyimpan semua rekod anda dengan betul dan kemas.
Kerajaan akan membantu peniaga, khususnya peniaga kecil
untuk membuat sistem penyimpanan rekod agar mudah peniaga melaksanakan sistem
cukai nilai tambah ini tanpa masalah.
Banyak manfaat lain diperoleh daripada sistem penyimpanan
rekod ini. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa nilai modal yang begitu
tinggi mengalir keluar dari Malaysia tetapi nilai itu tidak sama dengan nilai
yang tercatat dalam akaun negara.
Kira-kira 80 peratus daripada nilai itu adalah harga
pindah, iaitu syarikat terbabit memindahkan kos mereka ke serata dunia hanya
semata-mata untuk mengurangkan bayaran cukai.
Sesudah pelaksanaan GST, perbuatan seperti ini lebih
sukar dilakukan kerana semua rekod akan disimpan pada setiap peringkat dalam
proses penambahan nilai.
Rekod dalam rantai perniagaan akan mencatatkan nama
pembekal dan harga bekalan, sama juga bagi anda yang menjual, semuanya akan
disimpan. Rekod seperti ini akan menunjukkan dengan mudah sebarang pemesongan
yang berlaku.
Bukan setakat pemesongan nilai modal, malah perbuatan
lain juga boleh dikesan menerusi rekod ini. Hal ini memudahkan kastam mengesan
mereka yang mengelak duti dan membolehkan Jabatan Hasil Dalam Negeri menyiasat
pihak yang melarikan diri daripada membayar cukai.
Pelaksanaan GST akan memastikan pengemaskinian rekod yang
lebih sempurna dan memungkinkan kutipan cukai dan duti yang lebih berkesan pada
masa akan datang.
Cukai bernilai tambah ini sudah pun dilaksanakan di kebanyakan
negara dunia serta ASEAN. Malah, negara pengeluar minyak juga sudah
melakukannya.
Perkara yang ingin ditekankan di sini adalah cukai GST
ini luas asasnya dan dikenakan berdasarkan jumlah penggunaan.
Golongan kaya selalunya berbelanja lebih, jadi mereka
yang mesti membayar GST, bukannya golongan berpendapatan rendah.
Bila dilihat daripada aspek mana pun, GST sememangnya
langkah progresif bertujuan untuk menyusun semula sistem cukai negara kita. GST
adalah suatu langkah imperatif, kemestian memang bukan satu-satunya sebagai
sumber hasil yang mapan bagi sebuah kerajaan ekonomi yang maju dan membangun
untuk melabur balik kepada sektor yang memerlukan.
*Penulis ialah Ketua Eksekutif di Unit Pengurusan
Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment